Niat Di Hati

Bismillah, diharap kehadiran blog ini menjadi jalan peringatan dan nasihat kepada diri sendiri dan semua pembaca.


Thursday, February 17, 2011

Krisis Mesir: Apa pelajarannya?

Dan ingatlah olehmu di waktu Tuhan menjadikan kamu pengganti-pengganti (yang berkuasa) sesudah kaum 'Aad dan memberikan tempat bagimu di bumi. Kamu dirikan istana-istana di tanah-tanahnya yang datar dan kamu pahat gunung-gunungnya untuk dijadikan rumah; maka ingatlah nikmat-nikmat Allah dan janganlah kamu merajalela di muka bumi membuat kerusakan.(Al-A'raaf: 74)

Mari kita renungkan petikan ayat 74 Surah Al-A'raaf di atas, sepotong ayat yang menggambarkan peringatan dari Allah Robbil A'lamin (pengatur seluruh alam) terhadap manusia yang telah Dia tabalkan sebagai penerus kelangsungan penghidupan di atas muka bumi-Nya. Kenapa saya katakan penerus? kerana Allah jua dengan terang dan jelas melantik manusia secara umumnya untuk mentadbir, mengurus, melaksanakan agenda dan kerja yang mampu memakmurkan bumi ini bukan sebaliknya.

Tidak salah di bina istana-istana, rumah-rumah, bangunan-bangunan asalkan ianya dalam lingkungan batas-batas yang Allah telah tetapkan iaitu:

1. jangan sekali-sekali lupa diri kerana nikmat-nikmat itu semuanya dari Allah, kita manusia hanyalah yang diamanahkan untuk mengurus,
2. jangan membuat kerosakan kerana ia jelas berlawanan dengan tujuan dan matlamat Islam yang bersifat sejahtera dan selamat.

Sekali di renung ke Mesir, banyak pelajaran yang berharga serta bermanfaat untuk seluruh umat manusia hari ini renungkan dan boleh dijadikan iktibar untuk kita hisab peranan diri kita pula.

Membicarakan soal pengurusan sesebuah negara, bukanlah suatu perkara yang remeh. Namun, perkara-perkara yang dianggap remeh oleh setiap individu dari pelbagai segi seperti akhlak, ibadah, muamalah dan sebagainya amat penting bagi menjamin kejayaan terbinanya negara tersebut.

Sebagai contoh, jika kita memandang remeh soal perlunya menjaga akhlak diri mana mungkin kita berakhlak dalam menguruskan amanah yang diberikan. Persoalan akhlak secara ringkasnya boleh dijelaskan tentang bagaimana kita bersikap terhadap sesuatu perkara yang dihadapi tidak kira samada perkara remeh mahupun yang rumit. Sebab itu lah, jika kita ingat dialog sahabat Rasulullah s.a.w yang pernah bertanyakan kepada isteri Baginda tentang bagaimanakah akhlak Rasulullah? Lalu di jawab oleh isteri baginda dengan spontan "Al-Quran".

Sahabat-sahabat seagama ku sekalian, marilah kita selidiki pada diri masing-masing adakah kita ini penyumbang ataupun penumbang kepada permasalahan yang berlaku hari ini?? Jika diperhatikan Baginda rasul menumbangkan permasalahan yang berlaku sekitar kota Mekah tempat diam Rasulullah dengan berakhlak Al-Quran.

Apa pula maknanya berakhlak Al-Quran ini sahabat-sahabat? Mari sama-sama kita selami apakah sebenarnya yang dikatakan berakhlak Al-Quran ini. Akhlak, dari segi bahasa berasal dari perkataan 'khulq' yang membawa erti tingkah laku, perangai atau tabiat. Oleh yang demikian, bolehlah kita fahami akhlak Rasulullah yang digambarkan sebagai berakhlak Al-Quran merupakan tingkah laku, perangai dan tabiat Rasulullah yang berlandaskan kepada ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran.

Persoalannya, adakah umat Islam hari ini benar-benar mengerti akan ajaran yang hendak disampaikan oleh Allah kepada hamba-hambanya di dalam Al-Quran? Apakah dengan hanya membaca ayat-ayat Allah semata-mata tanpa ada kefahaman yang benar akan membawa umat Islam itu kepada tujuan dan matlamat Allah yang sebenar? Mari kita renung-renungkan.

Berbalik kepada krisis Mesir yang pada hari tulisan ini dinukilkan, Presiden Mesir akhirnya telahpun mengumumkan perletakan jawatannya setelah desakan yang berterusan dari rakyat yang sungguh-sungguh mahukan pemimpin negara mereka itu meninggalkan negara Mesir itu serta merta. Tunjuk perasaan yang berterusan selama 18 hari itu akhirnya telah membawa kepada kejatuhan rejim diktator Hosni Mubarak itu yang telah berkuasa selama lebih 30 tahun.

Mari sahabat-sahabatku, kita renung dan kita fikirkan adakah dengan terusirnya pemimpin itu benar-benar menjamin akan kesejahteraan dan keadilan yang berkekalan bagi Mesir sekiranya pengganti-pengganti seterusnya masih juga dikalangan orang-orang yang tidak mengerti dan benar-benar berakhlak dengan Al-quran? Sudah pasti perkara sama tidak akan berkesudahan jika tidak muncul manusia yang benar-benar mahukan dirinya hidup dibawah panduan dan didikan Allah azzawajalla yang telah mewariskan kitab panduan suci Nya kepada manusia.

Demikianlah juga pelajarannya untuk diri kita, tidak perlu asyik salah-menyalah, tuduh-menuduh di atas kepincangan dan kekurangan yang kini berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Sama-sama kita hisab diri adakah mampu untuk kita ubah kerosakan yang berlaku sekarang jika jatuhnya pemimpin-pemimpin yang kita anggap 'gagal' dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka hari ini. Tanya pada diri, adakah kita telah sedia menerima amanah dan tanggungjawab tersebut? Sanggupkah kita untuk berubah.......?
Krisis Mesir: Apa lagi pelajaran untuk kita???

Friday, February 4, 2011

Masa Depan Melayu Gelap

Petikan METRO, Rabu, 2 Februari 2011



Masa depan orang Melayu gelap sekiranya mereka tidak mengubah sikap dan cara yang selama ini yang masih banyak melakukan kesalahan, termasuk tidak ikhlas, mudah dibeli dan korup, kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita banyak melakukan kesalahan, kalau kita tak tukar cara kita,tak ikhlas dan jujur, masa depan kita gelap. Sekarang ramai orang Melayu korup, jual beli, sanggup jual satu kuasa yang amat berharga dengan RM200. Rasuah itu membinasakan diri dan negara. "Pada 1946 di waktu kita miskin tak ada orang nak sogok, kerana semua miskin. Kita harus ingat tidak akan ada Pulau Pinang, Singapura kalau kita tak nak duit. Singapura dijual dengan 60,000 Spanish Dollar.

"Demikianlah dulu sejarah Melayu, kita tertipu sepanjang masa, kita buat banyak kesalahan, buat benda tak baik membinasakan kita. Orang Melayu sekarang ini yang begitu mudah dibeli,masa depan gelap.
" Masa depan kita akan ditentukan oleh kita. Kalau kita mempunyai sikap tak baik, masa depan kita gelap. Kita belum ada cerdik pandai yang cukup, kekayaan yang cukup," katanya dalam ucaptama Wacana Bangsa Melayu dan Masa Depannya di Auditorium Galeria Perdana, Memorial Tun Hussein Onn disini semalam.

Wacana itu dipengerusikan Duta Besar Malaysia ke Filipina, Dato Seri Dr Ibrahim Saad dan turut dihadiri oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.