Niat Di Hati

Bismillah, diharap kehadiran blog ini menjadi jalan peringatan dan nasihat kepada diri sendiri dan semua pembaca.


Thursday, January 13, 2011

Sedar dan Bangun!


Bismillah..

Dunia dalam dilema, kata-kata awal yang ingin dikongsi bersama. Pernahkah perkara ini timbul di dalam ruang legar minda kita? Atau hanya kita seharian, mingguan, bulanan, tahunan dan seterusnya hanya memikirkan tentang duit, kereta mewah, keseronokan, rumah besar serta pangkat kita dalam suatu institusi dsb. Tentang apa yang berlaku kepada saudara kita sekarang. Tentang makan minum saudara kita. Tentang kebajikan saudara kita. Pernahkah kita fikir? Jika belum pernah sekalipun difikirkan, saya harap kita selepas ini harus sedar dengan kadar segera lalu memikirkannya. Hijrah dan cuba tanamkan dasar pemikiran baru, menitikberatkan kebajikan sesama manusia. Kerana apa ini? Buat apa nak fikir pasal orang lain? Mungkin ini tanggapan kita, saya harap tidak pernah wujud istilah ini. Kerana kita belum lagi sampai ke tahap ajaran yang dibawa junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W  iaitu “Umat Islam itu Bersaudara”. Islam itu TAUHID (satu). Pelbagai masalah dan juga kriminal yang semakin meningkat dari semasa ke semasa tanpa menemukan formula yang sesuai untuk menyelesaikannya. Bermacam-macam kaedah diadaptasikan untuk membanteras gejala sosial yang berlaku. Sudah berapa “Ops” telah dikuatkuasakan? Sudah berapa banyak kempen kesedaran dianjurkan? Berapa banyak ceramah diadakan dengan menjemput penceramah jemputan dengan harapan sedikit-sebanyak dapat memberi kesedaran? (masuk telinga kiri keluar telinga kanan). Berapa banyak badan kerajaan ditubuhkan untuk menyelesaikan permasalahan. Dan banyak lagi usaha murni yang tidak habis dinyatakan di sini. Namun semua ini berakhir dengan mimpi ngeri. Jawapannya ialah “Jalan Buntu!!!”. Kelihatan seperti bukan mimpi ngeri. Akibatnya masalah semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini. Lebih menakutkan ia tidak dapat ditangani. Adakah usaha-usaha yang diambil tidak berkesan atau kaedah yang digunakan tidak sepadan lebih jelas lagi tidak betul? \




Bersama kita gunakan akal fikiran memikirkan jalan keluar untuk ini.

Ya manusia sekarang tidak hairan mungkin dengan keadaan yang sedang berlaku di sekeliling mereka. “Keseronokan terus dicari, kesedaran dibelakangi”. Itu mentaliti generasi-generasi sekarang, lebih sedih kalau ini tergolong dalam ahli keluarga kita. “Muda lagi, nanti tua bertaubatlah”. Kata-kata popular rata-rata generasi muda zaman ini jika ditanyakan tentang keagamaan serta keinsafan. Kalau sempat tua bersyukurlah. Kalau kesudahannya mati di tengah keseronokan disko, mabuk, berparti, konsert, semasa berzina, merempit, merokok sudah menjadi kewajiban  bagi sesetengah pihak termasuk golongan-golongan yang berilmu pengetahuan tinggi (sedih kalau orang-orang yang dianggap hebat berkelakuan sebegini. Cthnya guru / imam / ustaz dll ) banyak lagi, diringkaskan dalam keadaan bergelumang dengan kemaksiatan bagaimana? Ke mana tempat persinggahan kita kelak? Syurga atau neraka. Inilah mentaliti pewaris Tanah Melayu terdiri darpada golongan yang amat rendah kesedaran untuk membangun. Kita perlu terima hakikat ini walaupun perit. Mahukah kita menjadi ejen perubahan? Sebagai bakal ibu bapa suatu hari nanti (tak dapat digambarkan bagaimana cara mereka mendidik anak-anak pada masa depan). Mungkin ditinggalkan terus nilai-nilai Islam dalam sesi pendidikan akan datang. Apa nak hairan? Ini zaman moden. Dunia sudah mempunyai ketamadunan tinggi. Rujuk saja internet. Hantar saja ke sekolah-sekolah agama. Semuanya akan selesai. Inilah Orang  yang agak rendah kesedaran tidak ada kemahuan untuk membangun. Maaf jika keterlaluan kerana saya ingin berkongsi kebenaran yang berlaku sekarang. Apa yang saya lihat saya akan kongsikan bersama. Mungkin ada sesetengah pihak sudah lama melihat tetapi kesedaran belum mencukup untuk membuat mereka bangun dari tidur.

Sekarang apa dah jadi? Melayu hanya tinggal nama. Orang Melayu tidak menggambarkan langsung nama Melayu. Mungkin suatu masa akan hilang terus dalam sejarah berkisahkan orang Melayu. Orang pun tak kenal dan tak pernah dengar apa itu Melayu. Bila sebut Orang Melayu apa pandangan masyarakat? Mat rempit. Itu sudah sinonim dengan remaja Melayu. Kerja mesti mau makan gaji (baru senang, tak payah berfikir teruk-teruk. Masalah penagihan dadah rata-rata kita tengok orang Melayu, tempat kediaman di bawah jambatan, lorong-lorong sempit (kongsi dengan tikus, “baik hati”). Pengedar dadah kebanyakan Orang Melayu, kadang-kadang hanya dipergunakan sebagai ejen (dapat komisyen hasil jualan agaknya) dibelanjakan untuk anak-anak ke sekolah / digunakan sebagai sumber pemakanan . Kemudian hairan kenapa anak-anak tidak cemerlang, anak juga dipersalahkan. Yang mengemis di jalanan kebanyakan Orang Melayu. Pakai cermin mata hitam bawa tisu. Bawa keratan yang telah “dieliminate” meminta simpati untuk pembinaan madrasah kononnya. Duduk depan bank depan ada bekas duit bertampalkan artikel nak buat sekolah agama / nak buat masjid (masjid yang ada pun tak penuh 5 waktu). Duduk  di pasar-pasar malam menyusukan anak padahal tubuh badan sihat boleh berkerja dan tidak kelihatan cacat sedikitpun. Orang pun tak ingin nak ambil peduli. Mengemis di Tanah Melayu. Bangsa lain tengok Orang Melayu sekarang, gelak besar mereka sambil di meja makan di tempat-tempat yang mewah, sedangkankan Orang Melayu “gelak besar” di warung-warung asyik bercerita tentang filem dan drama KL DRIFT, RODA-RODA KUALA LUMPUR, REMPIT, NGANGKUNG, HANTU MAK LIMAH BALIK KAMPUNG, DURJA NINGSUN, JANIN, JANGAN PANDANG BELAKANG CONGKAK. Akan datang! Jangan ketinggalan KURAFAT. Amat mempengaruhi minda masyarakat. Tetapi berapa banyak filem dan drama berunsurkan keagamaan? Berapa banyak drama dan filem berunsurkan ilmu pengetahuan? Berapa banyak drama dan filem berunsurkan nilai-nilai kemasyarakatan? Lagi apa, sanggup menghabiskan wang ringgit “mengafundi” selebriti-selebriti program realiti AF1 – AF7, One in A Million, Program Idols, Bintang Kecil, Tom-Tom Bak dll. Sanggup kering kredit untuk ini semua, untuk belajar agama jauh sekali. Tak menagapa, itu cara anda berbelanja harta yang dipinjamkan oleh Allah. Saya tiada hak untuk mempersoalkannya. Sekali lagi memohon kemaafan. Ok teliti petikan ini,kata-kata pemenang program realiti “Saya amat bersyukur, tanpa anda semua saya tak akan berdiri di sini. Saya sayang kamu semua,terima kasih sangat sambil air mata mengalir (penonton pun gembira bersorakan  join sekali terpengaruh sampai menangis tak tahu apa punca). Setelah “hero-hero dan idola-idola” anda yang sememangnya “pandai bergimik dan pandai berlakon” menang membawa pulang hasil kemenangan berupa kereta, RM berpuluhan ribu, dan bermacam-macam (hasil undian ikhlas anda). Saya nak tanya. Apa pulangan yang anda dapat hasil daripada usaha keras mengafundi? Apa pulangan yang anda semua dapat? Setiap orang dapat 1 vcd album rakaman mereka ke? Berbaloikah mengafundi, menangis, kredit kering (mungkin hero-hero tolong topup lepas tu)? Berapa keuntungan yang dikongsikan bersama anda? “Boleh diterima” lagi jika ada rumah terbuka sempena penghargaan kepada peminat. Malang sekali itu semua mimpi. Mimpi!!! Paling sedih, “kita sekarang dipandang hina” oleh bangsa lain.


Orang Melayu! Suatu masa dahulu adalah satu “Bangsa Hebat”. Tanah Melayu sangat dikenali dikalangan negara-negara luar. Orang Melayu sangat dihormati juga diteladani. Ekonomi dimonopoli. Pendidikan diterajui. Bahasa Melayu dipelajari sehingga menjadi salah satu bahasa utama yang digunakan di zaman Kesultanan Melaka dikenali sebagai “Lingua Franca” (bahasa perantaraan). Tapi itu dulu, sudah berlalu berapa ratus tahun yang lalu. Hanya “tinggal kenangan”, hanya boleh “dibanggakan”, hanya dapat dilihat setelah dibukukan. Tidakkah kita merindui saat itu? Saat kegemilangan Orang Melayu. Di saat Orang Melayu tidak pernah dikategorikan dalam golongan yang hidup kelaparan hanya sekadar menunggu pertolongan malah mereka dahulu seringkali ke hadapan menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Pendek kata, kita tak perlu ada perasaan risau akan Orang Melayu zaman dahulu jika dibangdingkan dengan sekarang. Sangat membimbangkan. Atau kita malu untuk mengaku kita ini Melayu? Bercakap pun semahunya bahasa Ingeris. Bahasa Melayu tidak ada kualiti bagi sesetengah daripada mereka di luar sana. Nenek-moyang kita bersusah-payah mengeluarkan peribahasa-peribahasa yang mendalam maksudnya dengan harapan kita menjadi pemikir-pemikir yang tinggi. Kesudahannya Bahasa Ingeris yang menjadi pilihan, ada “standard”. Budaya asing yang dijadikan tauladan. Berpijaklah di bumi yang nyata.




"Kembali kepada Ajaran Al-Quran"




Sudah tiba masa kita semua sedar! Bangun dari tidur! Orang Melayu sudah lama tidur. Hidup dalam zon selesa kononnya ini Tanah Melayu, apa nak dirisaukan. Yalah, mana tak selesa tidur di dalam selimut di dalam sebuah bilik berhawa dingin. Geram apabila dikejutkan. Untuk itu, tanya pada diri sendiri berapa ekar  tanah yang aku ada? Berapa hektar ladang aku punya? Kalau dah dapat jawapan,tengok balik soalan. Renung-renungkan. Hidup pun di dalam kesempitan ada hati nak jadi tuan siap timbul pertelingkahan yang amat memalukan. Sengaja menonjolkan kelemahan bergaduh sesama sendiri. Jangan jadi angan-angan dan cakap-cakap kosong. Sudah tiba masa untuk sedar lantas bangun. Sedar & Bangun! Takkan menunggu dengan kesabaran keadaan sudah kritikal baru timbul keinginan untuk buka mata? (Itu pun baru buka selimut). Takkan nak menunggu bangsa lain bangun untuk kita? Cuba lah kalau nak lihat apa akan jadi nanti. Gula tak jual mengelabah. Gunalah fungsi mata dengan menjadikan mata dapat melihat keadaan. Gunakan ketajaman penglihatan untuk menembusi tembok-tembok yang menghalang pandangan. Jangan biar diri kita dikuasai, jangan biar diri kita dijajahi, jangan biar diri kita diperhambai. Katanya kita sudah merdeka, buktikan perkataan kemerdekaan dalam diri kita. Hayati apa maknanya. Yang mana jika kita tidak “Sedar & Bangun” untuk generasi akan datang, kita semua telah menandatangani satu perjanjian yang akan meninggalkan kesan kepada generasi pewaris bangsa kita. Kesannya generasi kita akan diperbudak-budakkan. Kalau anda tidak percaya, tunggu dan lihat saja dalam masa terdekat lebih kurang 10 -20 tahun akan datang. Tahun itu semakin dekat. Generasi akan menyalahkan kita kerana membiarkan mereka hidup di dalam lubang kesengsaraan kelak. Kita sekali lagi akan dicaci dan dipandang hina oleh anak-anak sendiri kali ini, amat sedih kalau-kalau ini betul-betul terjadi. Sama-sama kita ambil iktibar daripada perkongsian yang tidak seberapa ini. Sama-sama kita cari jalan yang akan meyelamatkan diri dan keluarga kita. Tuntutlah ilmu sebanyak-banyaknya kerana “Ilmu Itu Kuasa” penggubah segalanya. Inilah rahsia kejayaan. Ilmu adalah kuncinya. Carilah jalan keluar dari kepompong dan saya yakin jalan itu ada di sekeliling jika anda benar-benar mencarinya. Anda akan menjumpainya. Jangan kita menolak setelah menjumpainya. Gunakan akal untuk berfikiran rasional dan membezakan antara yang haq dan bathil. Berdoalah kepada Allah memohon keampunan dengan berusaha mencari jalan untuk kembali kepada-Nya. Sesungguhnya Allah amat dekat rahmat-Nya lagi memperkenankan doa-doa hamba-Nya. Semoga berjumpa lagi di perkongsian berikutnya.

Alhamdulillah.

Dinar/Iqrakita03

No comments:

Post a Comment